Just another WordPress.com site

Mengapa Vandalism Terjadi? (Punca dan Faktor-faktor)

Banyak faktor-faktor yang mendorong individu tersebut untuk menjadi seorang yang vandalis. Di antara faktor utamanya ialah :

1. Pengaruh rakan sebaya

Rakan sebaya merupakan orang terpenting kepada remaja, selain ibu bapa dan ahli keluarga. Rakan sebaya amat mempengaruhi tingkah laku seseorang, terutamanya bagi mereka yang menghadapi masalah dengan ahli keluarga. Remaja yang memilih rakan sebaya yang berkelakuan buruk, sedikit sebanyak akan terikut-ikut dengan perlakuan tersebut. Melakukan kegiatan jenayah seperti merosakkan harta benda awam atau harta benda orang lain merupakan sesuatu yang mencabar. Jika rakan yang didampingi sering melakukan perbuatan itu, kemungkinan besar seseorang pelajar itu akan terjebak sama. Jika mereka membentuk satu kumpulan dan ahlinya bergiat dalam kegiatan itu, sekiranya ada antara mereka tidak sanggup menerima cabaran rakan sekumpulan, ia tidak akan diterima sebagai ahli lagi. Ini membuatkan seseorang itu terpaksa turut serta dalam kegiatan itu.

2. Tekanan yang dihadapi dalam hidup

Dalam dunia yang penuh dengan cabaran, kebanyakan individu berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuklah golongan pelajar. Ramai pelajar kini berasa amat tertekan dengan harapan diri sendiri, ibu bapa dan pihak sekolah untuk memperoleh kejayaan cemerlang dalam bidang akademik. Prestasi yang cemerlang dalam peperiksaan ini menjadi ukuran pencapaian kejayaan seseorang. Bagi pelajar yang lemah, ini merupakan tekanan yang amat berat yang perlu ditangani. Ketidakupayaan menghadapi tekanan sedemikian memungkinkan mereka mengalih pandangan kepada kegiatan yang negatif yang dinyatakan itu. Keadaan menjadi bertambah buruk jika mereka juga berhadapan dengan masalah kewangan.

3. Pengabaian ibu bapa

Ibu bapa berperanan penting dalam membentuk peribadi anak-anak. Peranan ini harus dilaksanakan secara berterusan dan perlu bermula sejak seseorang anak itu masih kecil lagi. Kini, ramai ibu bapa sibuk dengan tugas masing-masing dan peranan mendidik anak-anak diserahkan kepada pengasuh, yang kadang-kadang diberikan juga tugas lain seperti memasak dan mengemas rumah. Keadaan ini menyebabkan anak-anak terbiar dan apabila meningkat remaja mereka berasa diri mereka disisihkan, tidak dipedulikan lagi serta tidak dikasihi oleh ibu bapa. Oleh itu mereka tidak selesa tinggal di rumah dan cuba mencari jalan untuk mengatasi perasaan kecewa mereka dengan meninggalkan rumah atau melarikan diri. Apabila mereka berada di luar rumah, mereka terdedah kepada pelbagai gejala buruk, termasuklah bergaul dengan rakan yang telah pun bergiat dalam aktiviti vandalism atau yang seumpamanya.